Wednesday 27 April 2011

bertaubatlah sebelum terlambat

Alhamdulillah...arini aku diberi kesempatan untuk berkongsi bersama-sama saudara-saudara sekalian...sahabat-sahabat andai ada dosa yang telah kita buat selama ini,bertaubatlah sebelum terlambat...kita masih diberi kesempatan untuk bersama-sama bertaubat...sebelum kita melelapkan mati pada setiap malam,hendaklah merenung kembali apa yang telah kita lakukan seharian supaya kita dapat memuhasabah diri kita sebelum memejamkan mata sahabat-sahabat...sesungguhnya Allah swt itu Maha Pengampun kepada HambaNya...

Empat perkara Membawa Kebahagiaan Manusia

SESUNGGUHNYA, kebahagiaan adalah dambaan setiap manusia yang menghuni dunia ini. Sebab itu setiap orang sentiasa berusaha untuk mencari dan mendapatkan kebahagiaan dengan pelbagai cara.Namun tidak semua manusia mampu mencapai impiannya atau memperolehkebahagiaan yang dicari dan yang dicita-cita itu.

Lalu, di manakah terletaknya kebahagiaan itu? Apakah pada wang yang banyak, harta yang melimpah, emas yang bertimbun atau pada pangkat, bangsawan atau kerusi yang empuk?

Dalam hadis, Rasulullah saw bersabda yang bermaksud:
“Empat perkara yang membawa kebahagiaan kepada manusia, iaitu (memiliki)
perempuan (isteri) yang solehah, rumah yang bagus (luas), jiran yang baik, dan
kenderaan yang bagus.” (Hadis riwayat Ibnu Hibban).

Berdasarkan hadis ini, ada empat faktor atau kunci yang jika dimiliki oleh
seseorang, tentu dia akan merasai nikmat bahagia.
Namun tidak bererti hanya yang empat itu saja faktor yang membawa kebahagiaan.
Apa yang Rasulullah nyatakan menerusi hadis itu hanyalah sekadar menunjukkan
keutamaannya.

Rasulullah meletakkan isteri yang baik pada urutan pertama sebagai faktor
kebahagiaan seseorang. Isteri yang solehah akan memberikan ketenangan kepada
suami.

Rumah ibarat syurga jika memiliki isteri yang solehah. Antara sifat isteri solehah
ialah hormat dan patuh kepada suami sepanjang suami mengikuti jalan kebenaran,
melayan suami dengan baik dan penuh sopan, sentiasa menutup aurat, memasak
dan menghidangkan makan minum untuk suami, mendidik anak-anak agar anak juga
terselamat daripada godaan duniawi, bersikap mesra dalam berhubungan dengan
kaum keluarga, menjaga rahsia rumah tangga, tidak keluar rumah tanpa izin suami
dan banyak lagi sifat lain.

Allah melukiskan menerusi al-Quran mengenai sifat isteri yang solehah, menerusi
firman-Nya yang bermaksud:
“Maka perempuan-perempuan yang baik (solehah) itu ialah yang taat (kepada Allah
dan suaminya), dan yang memelihara (kehormatan dirinya dan apa jua yang wajib
dipeliharanya) ketika suami tidak hadir bersama, dengan pemeliharaan Allah dan
pertolongan-Nya.”(Surah an-Nisaa’ ayat 34).

Ibnu Abbas mengemukakan dua ciri khas mengenai pengertian as-solehah (isteri
yang soleh) iaitu mempunyai perilaku baik (berakhlak/sopan) terhadap suami, dan
mengerjakan perbuatan kebajikan.

Makna isteri setia dalam ayat itu ialah patuh dan jujur terhadap suami kerana
Allah. Seterusnya, Nabi Muhammad memperincikan tiga sifat isteri solehah,
menerusi sabda yang bermaksud:

“Sebaik-baik perempuan (isteri) ialah yang menggembirakan engkau sewaktu
engkau melihatnya; yang patuh apabila kamu perintahkan dia (dalam hal
kebaikan); yang menjaga dirinya dan harta milikmu semasa ketiadaanmu di
rumah.”
Isteri yang menggembirakan suami atau yang bermuka manis bukan bermakna
wajah cantik semata-mata. Biar wajah kurang menarik, tetapi jika selalu
menguntum senyum, tinggi pekerti, memancar dari keningnya cahaya iman dan
keikhlasan, itulah isteri solehah yang meriangkan suami.

Isteri walaupun cantik, tetapi jika wajahnya selalu mencuka, buruk pekertinya,
kening selalu berkerut, tidak akan dapat memikat hati suami.

Demikianlah juga halnya dengan soal patuh dan memelihara amanah suami yang
Nabi utarakan dalam hadis ini. Selain faktor isteri, rumah yang luas, bagus atau
indah juga akan memberi kebahagiaan kepada penghuninya.
Bagaimanapun, kebahagiaan dengan memiliki rumah yang besar dan indah itu akan
tercapai sepenuhnya jika disertai dengan hati yang tenang dan damai. Jika hati
tidak tenteram, rumah yang luas dan indah akan terasa sempit dan tidak akan
merasa bahagia.

Rumah adalah tempat berteduh malah menjadi syurga bagi mereka yang beriman.
Di rumah juga seseorang akan memperoleh ketenangan dan kebahagiaan, apalagi
jika didampingi isteri solehah.

Jika rumah diibaratkan istana, maka suami adalah raja, isteri solehah adalah ratu
dalam rumah tangga, manakala anak-anak adalah rakyat.
Allah berfirman yang bermaksud:
“Allah menjadikan untuk kamu rumah sebagai tempat tinggal (tempat
ketenangan).” (Surah an-Nahl, ayat 80).
Jiran yang baik juga menjadi faktor penting kebahagiaan. Seseorang akan merasa
sangat bahagia jika mempunyai jiran yang baik budi, murah hati, dermawan, saling
menghormati, bertolak ansur, suka menolong dan memberi perhatian.
Jiran baik tidak akan memberi sebarang gangguan kepada kita, sama ada melalui
perbuatan mahupun lisan atau ucapan; dan tidak merasa irihati dengan kelebihan
yang dimiliki kita.

Malah, jiran yang baik akan tumpang gembira dan mengucapkan tahniah dengan
kejayaan yang kita peroleh, dan menghulurkan pertolongan jika kita ditimpa
sesuatu musibah.

Oleh itu, sekiranya kita memperoleh jiran jenis ini, kita harus memiliki sifat
sedemikian kepada orang lain yang menjadi jiran, agar mereka turut merasa
bahagia seperti mana kita rasai.

Kenderaan yang bagus juga adalah faktor kebahagiaan. Setiap orang mengidamkan
kenderaan yang bagus atau baru, seperti kereta, motosikal dan sebagainya.
Sifat manusia memang suka kepada kebendaan. Kenderaan yang baru atau bagus
akan dapat membawa seseorang ke merata tempat yang disukainya tanpa memikirkan soal kerosakan dan sebagainya, berbanding dengan kenderaan yang lama atau buruk yang mana tiada jaminan keselesaan sepanjang perjalanan.

Namun dalam soal kenderaan ini, orang beriman harus berwaspada atau berhatihati, iaitu agar tidak sampai kenderaan itu memperbudak atau seolah menjadi
’tuan’ kepadanya. Sudah kebiasaan bahawa kenderaan yang baru atau bagus itu
akan sentiasa diberi perhatian oleh pemiliknya, seperti selalu dibasuh, diperiksa
atau dibersihkan. Bagaimanapun, janganlah sampai semua urusan itu melebihi
tumpuan untuk beribadat kepada Allah.

Apabila kenderaan lebih diutamakan daripada diri sendiri, bermakna kenderaan itu
sudah menjadi tuan yang memperbudakkan pemiliknya sendiri.
Kenderaan yang bagus tidak semestinya baru. Ia adalah nikmat Allah yang harus
dimanfaatkan untuk kebaikan seperti lebih rajin beribadat di masjid, mengunjungi
majlis ilmu atau membawa keluarga beristirehat. Janganlah hendaknya ia
digunakan untuk kerap ke tempat maksiat atau melakukan perbuatan yang tidak
diredhai Allah.

Sucikanlah 4 hal dengan 4 perkara :
"Wajahmu dengan linangan air mata keinsafan, Lidahmu basah dengan berzikir
kepada Penciptamu, Hatimu takut dan gementar kepada kehebatan
Rabbmu, ..dan dosa-dosa yang silam di sulami dengan taubat kepada Dzat
yang Memiliki mu."

"sampaikanlah walau satu ayat" al hadis
- LAA HAULAWALA QUWWATAILLA BILLAH -